bismillah Pictures, Images and Photos

Monday, October 24, 2011

Minggu yang sibuk.

Allahuakhbar,

Minggu lepas terasa amat padat sekali jadual harian saya.

Bermula pada 16 dan 17 hb, saya menghadiri 'Simposium Hospital Mesra Ibadah' di Hotel Reinassaince Kota Bharu. Satu event yang sengaja saya hadiri untuk melarikan diri dari dunia patologi. MasyaAllah, saya rasa seperti berada di satu majlis ilmu selama 2 hari tersebut. Mendengarkan kata-kata hikmah dari Dr Ramli Saad, Ustaz Dr Abdul Basit, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan ramai lagi, memang membuka minda. Secara tidak langsung, dengan izinNya, saya berdoa, iman saya dapat diperkukuhkan sedikit sebanyak. Orang kurang ilmu seperti saya, kena sentiasa muhasabah diri untuk menjadi hambaNya yang cemerlang. Kesimpulan ringkas yang dapat dari simposium ini ialah, jadikanlah kerja kita sebagai satu ibadah.

18 hb, satu hari yang sibuk juga. Oncalls slides yang perlu dibaca pada paginya. Sebelah petang, selama hampir sejam saya bersama-sama pelajar tahun 2 perubatan&pergigian dalam sessi praktikal di makmal pelbagai guna. Diikuti dengan mesyuarat IT jabatan, yang mana saya pengerusinya. Saya tidak pasti samada ia ada diamalkan atau tidak dalam mesyuarat lain, atau tidak kena tempat; tetapi saya cuba mulakan mesyuarat yang saya kendali dengan bacaan ummul kitab, moga-moga mesyuarat itu mendapat barakah. Alhamdulillah, perbincangan hanya mengambil masa sejam. Dan ditutup dengan tasbih kifarah.

19hb, saya memberi lecture kepada pelajar tahun 2 perubatan. Ini lecture saya yang keempat semenjak saya dilantik sebagai pensyarah. Gugup itu masih ada. Bermula dengan doa yang dibaca oleh Nabi Musa sebelum mengadap firaun, saya titipan bicara. Doa saya, moga Allah memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar atas ilmu Allah yang kongsikan itu.

Dan dalam minggu ini jugalah saya telah berjaya menyelesaikan Core Procedure, iaitu satu dokumen prosedur untuk cara-cara pengajaran dan peperiksaan Master of Pathology di Jabatan kami. Satu tugas yang ditinggalkan separuh siap oleh bekas pensyarah yang telah berpindah universiti. Ada hikmahnya, sebab saya dapat betulkan banyak statements dalam dokumen itu. Alhamdulillah.

***********************
Saya sering membaca nukilan Prof Kamil Ibrahim yang menulis dari Madinah. Teringat saya, catatannya mengenai pelajar-pelajar Arabnya di sana. Mungkin, saya juga patut amalkan doa yang beliau sering titipkan iaitu, doa agar dia dengan para pelajar dihubungkan dengan satu perasaan kasih sayang antara mereka. Satu yang patut dipraktikkan sebagai seorang pendidik. InsyaAllah saya cuba lakukan.


"Ya Allah permudahkan urusanku di dunia dan di akhirat"



No comments: