Bismillah...
5 Safar 1433H
Saya tahu malam ini adalah malam 31 Disember 2011M, hari terakhir sebelum melangkah masuk ke tahun 2012. Tapi berapa ramai yang tahu akan tarikh bulan Hijrah hari ini?
Bukannya nak kata ni saya baik sangat, tapi sekadar untuk memperingati diri sendiri jua. Saya hanyalah insan yang faqir lagi jahil di sisi Nya. Dan, cuba untuk sentiasa mengingatiNya pada setiap masa.
Wallahu'alam.
Sepanjang tahun ini.
Bermula Disember 2010 sehingga Mei 2011, saya anggap seperti saya berada di dunia lain. Fokus adalah untuk lulus exam akhir Master saya. Tidak banyak yang saya ingat melainkan study discussion study discussion.
Pada, bulan-bulan akhir sebelum peperiksaan, salah seorang kawan saya yang juga menduduki peperiksaan Mei lalu, telah berpesan kepada kami semua, supaya banyakkan solat Dhuha, solat sunat & baca Al-Quran & berdoa, sebagai antara persiapan kami menempuh peperiksaan tersebut. Hampir sebulan saya berada di rumah Mama di Kelana Jaya semasa musim peperiksaan. Amalan solat Dhuha tidak ditinggalkan. Di waktu lain, mama sentiasa memasang CD ceramah Ustaz Kazim. Al Quran menjadi bacaan wajib saya hampir selepas setiap kali solat. Apakah kesannya pada diri saya?
Allah Maha Besar. Sesungguhnya saya diujiNya dengan kegagalan demi kegagalan semasa menduduki peperiksaan MRCP Part 1, semasa di UK dahulu. Dia Maha mengetahui. Sungguhlah, bidang perubatan dalaman tidak sesuai untuk saya. Saya lebih bahagia di bidang Patologi. Maha Suci Allah, Dia lebih mengetahui. Dengan izinNya, saya lulus mudah untuk exam tahun 1 dan tahun 4(akhir). "NikmatNya yang manakah saya hendak nafikan??"
Allah Maha Besar. Sesungguhnya perkara-perkara yang saya amalkan semasa minggu exam itu telah sedikit sebanyak meninggalkan kesan di dalam jiwa saya yang laro. Solat Dhuha saya akan cuba untuk lakukan setiap hari. Quran menjadi bacaan wajib harian. Tapi saya manusia lemah, ada kalanya saya lalai. Saya mohon padaNya, agar diberi kekuatan untuk istiqamah dalam beribadah.
Allah Maha Besar. Jiwa saya lebih tenang mendengar ilmu-ilmu yang disampaikan oleh ustaz-ustaz melalui CD ataupun radio Ikim. Dengan adanya TV AlHijrah, lagi memberi peluang untuk saya mendapatkan ilmu. Semakin mendengar, semakin saya sedar, betapa kerdilnya saya ini. Sesungguhnya, saya insan jahil, banyaknya saya tidak tahu. Saya cuba untuk ke majlis-majlis ilmu di kampus atau di masjid-masjid. Allahu Rabbi, bantulah aku untuk istiqamah.
Saya cuba tempiaskan perubahan ini kepada ahli keluarga saya yang kecil ini. Alhamdulillah, setelah bertahun-tahun berdoa, nampak ada perubahan. Sedikit, tapi ianya signifikan. Suara-suara mendayukan ayat-ayat Allah semakin bertambah. Rumah-rumah Allah mula dicari. Majlis ilmu mula didekati. CD ceramah agama menjadi halwa telinga apabila kami bermusafir.
Saya berterima kasih padaMu Ya Allah, akan perubahan positif ini. Berilah kami kekuatan untuk meneruskan usaha mendekatiMu.
Begitulah Allah jadikan peperiksaan akhir Mei lepas, sebagai satu garisan untuk saya berubah. Andai saya tidak bersyukur padaNya, sungguh sombong lah saya ini. Jahatlah saya ini. Kejayaan yang diberi adalah atas kehendakNya. Ampun diriku ini Ya Allah, andainya aku lupa.
Doa saya, moga tahun 1433H-2012M ini, dipertambahkan iman, diperkukuhkan rasa cinta saya padaNya, diperkuatkan kasihsayang antara kami sekeluarga, sentiasa diberi rahmatNya, dikurniakan rezeki yang halal. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w & para keluarganya, para sahabat, para anbiya'.
"Ya Allah, jadikanlah kami, hamba-hambaMu yang mencintaiMu...."